Isnin, Jun 22, 2009

Tidak Layakkah pemimpin dari Sabah????

Baru-baru ini Anwar Ibrahim melantik Azmin Ali (Orang KL) sebagai Pengerusi Perhubungan PKR di Sabah menggantikan diri yang meletak jawatan dalam mesyuarat agung khas PKR. Sebelum ini, Anwar mengambil alih jawatan ini daripada Ansari Abdullah dan Dr. Jeffry Kitingan.
Persoalannya, selepas perletakan Anwar sebagai pemimpin PKR di Sabah, kenapa pla dia melantik Azmin Ali yang boleh dikatakan sangat asing di Sabah. 10% kawasan di Sabah pun belum pernah dijejaki oleh Azmin.
Betulkah orang Sabah tiada yang layak memimpin PKR di Sabah?
Dimana letaknya muka Dr. Jeffry Kitingan yang beriya-iya betul menjawat jawatan ini?
Dimana janji Anwar mau orang Sabah jadi pemimpin kelak. Anwar berjanji jika partinya memerintah, seorang Timbalan Perdana Menteri (TPM) di lantik dari Sabah. Nampak gayanya itu satu janji kosong sahaja. Apalagi TPM, Pengerusi Perhubungan pun dilantiknya orang KL. Anwar tidak harap orang sabah pula. sama-sama kita renungkan..

Jumaat, Jun 19, 2009

Kenapa Pas-DAP boleh, Pas-UMNO tak boleh?

SAYA terpanggil untuk bersama-sama memberi pandangan berhubung pembentukan kerajaan perpaduan antara Pas dan UMNO kerana ia adalah satu titik permulaan yang sangat baik ke arah penyatuan dan pembentukan negara Malaysia yang jitu dan kearah perpaduan yang sejati.

Sebenarnya, titik persamaan utama mereka sudah terlalu jelas dan tak perlu dicari lagi. Ini kerana secara umum semua orang Melayu di Malaysia adalah beragama Islam. Maknanya, mereka menyembah satu Tuhan, Allah SWT, menghadap kiblat yang sama, Baitullah di Mekah, berpegang kepada ajaran kitab yang sama al-Quran dan berpenghulu yang sama, Nabi Muhammad SAW. Jadi, dari segi akidah atau kepercayaan, tidak ada sebab mereka tidak boleh bersatu.
Cuma mereka berpecah kerana ideologi politik. Melayu UMNO dan Melayu Pas. Kenapa harus terjadi begini? Sedangkan hakikatnya, kedua-dua parti memperjuangkan Islam dan dikuasai orang Islam.
Di sinilah perlu wujudnya satu kesedaran yang sangat mudah untuk diperakui di kalangan seluruh umat Islam. UMNO dan Pas hanyalah parti politik, bukannya agama! Agama kita semua hanyalah satu, iaitu Islam. Sehubungan itu, sama ada kita menyertai Pas atau UMNO, kita tetap beragama Islam. Tidak ada hukum Islam yang menyatakan semua orang Islam wajib menyertai atau menyokong parti Pas.

Namun, apa yang berlaku selama ini, orang Pas berpendirian setiap orang Islam mesti menjadi ahli atau penyokong Pas. Kalau tidak, mereka bukan orang Islam. Apakah ertinya semua ini? Adakah orang Pas sudah beranggapan atau mahu menyamakan Pas itu dengan agama? Pas itu Islam dan Islam itu Pas? Kalau begitu, bagaimana dengan orang Islam di luar Malaysia? Adakah mereka juga tidak Islam kerana tidak menjadi ahli atau menyokong Pas? Hakikatnya, orang Islam tetap orang Islam, selagi mereka berpegang dan mengamalkan Rukun Islam. Ia tidak boleh dipertikaikan sama sekali seperti yang dilakukan orang Pas terhadap orang UMNO.
Oleh itu, pemimpin Pas juga tidak harus terburu-buru berprasangka buruk dengan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan antara parti itu dan UMNO. Sebagai, umat Islam, mereka perlu memahami tuntutan ukhuwah Islamiah yang memberi keutamaan kepada perpaduan sesama ummah terlebih dahulu dan bukannya mendahulukan orang bukan Islam seperti yang berlaku dalam penubuhan kerajaan pakatan antara Pas dan DAP di Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.

Dalam hubungan ini, saya ingin bertanya kepada pemimpin Pas, terutama Datuk Nik Aziz Nik Mat satu soalan: "Yang manakah lebih baik, Pas bersatu dengan UMNO yang ahli dan pemimpinnya majoriti orang Melayu beragama Islam atau Pas bersatu dengan DAP yang ahli dan pemimpinnya majoriti orang yang terang-terang menentang status negara Islam dan kepemimpinan Islam di Malaysia?" Apakah DAP betul2 jujur dalam menjalinkan hubungan dengan PAS atau ada agenda tersendiri?

Selasa, Jun 16, 2009

Jika PPSMI di Mansuhkan...? BI wajib lulus SPM langkah kerajaan untuk jaminan penguasaan BI generasi masa hadapan?

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat berbincang sama ada Bahasa Inggeris (BI) wajib lulus sebagai syarat lulus SPM. Ini kali pertama kita dengar kerajaan secara tulus bertanya kepada rakyat sebelum membentuk satu dasar perdana yang melibatkan rakyat. Petanda baik bagi kita apabila kerajaan mula memikirkan apakah langkah yang setara dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu jika dimansuhkan, ia menjamin penguasaan BI generasi masa hadapan. Kepentingan BI tidaklah sama timbangannya dengan Bahasa Malaysia (BM). BM adalah struktur tunjang pembinaan sebuah negara bangsa yang berdaulat. Malah bangsa Melayu itu sendiri akan hilang punca jika salah satu ciri-ciri Melayu iaitu bahasa Melayu, agama Islam dan amalan budaya Melayu itu hilang. Jika salah satu komponen itu hilang maka identiti negara kita kian terhakis.

Dalam hasrat meletakkan BI sebagai wajib lulus untuk lulus SPM, adakah kerajaan benar-benar bersedia untuk pelaksanaannya? Bersedia dalam konteks perancangan strategik yang melibatkan sumber kewangan, tenaga pengajar, kemudahan peralatan, modul yang berkesan serta menyediakan persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran. Kedua, adakah rakyat terbanyak khususnya di luar bandar bersedia menerima cabaran ini? Jawapannya mungkin 'ya' mungkin 'tidak'. Jika begitu keadaannya, kerajaan dan rakyat berada dalam keadaan was-was. Sesuatu dasar yang diputuskan dalam keadaan ragu-ragu dan bercelaru akan timbul masalah besar kemudian hari.

Dalam merancang dasar strategik, kita hendaklah mengelakkan diri daripada memasang perangkap kepada anak bangsa. Kita wajar mampu melihat jauh ke hadapan akan halangan-halangan yang memerangkap anak bangsa kita. Kita amat sedar dengan kemampuan kerajaan yang terbatas, apa akan jadi kepada sebilangan besar pelajar yang gagal SPM nanti kerana gagal menguasai bahasa penjajah itu? BI menjadi penghalang besar anak bangsa kita tidak layak masuk institusi pengajian tinggi (IPT). Tidakkah kita menepuk kepala suatu hari nanti apabila IPT dipenuhi oleh orang lain sedangkan bangsa kita terkial-kial - terperangkap dalam jebak BI yang kita cipta sendiri? Pada waktu itu kita sibuk mencari formula baru sedangkan satu atau dua generasi menjadi mangsa.

Satu Malaysia sedar BI adalah subjek maha penting untuk dipadankan dengan landskap dunia hari ini. Agenda bangsa tidak sehala dan dapat diselesaikan dengan satu jalan.
Dengan itu dicadangkan BI adalah mata pelajaran wajib untuk PMR dan SPM. Malah dalam STPM juga. Bagaimanapun ia bukan syarat wajib lulus bagi SPM. Kedua, BI wajar diterapkan ke dalam jadual waktu pelajar setiap hari bersekolah dengan pelbagai kaedah seperti public speaking, presentation, report writting, debate dan lain-lain di samping modul teras BI. Kelengkapan alat bantuan mengajar dipertingkatkan. Makmal Bahasa diperkembangkan ke sekolah-sekolah seluruh negara dan dilengkapkan dengan alat pandang dengar (audio visual) dan teknologi terbaru. Ketiga, kerajaan menyediakan peruntukan masa tidak kurang empat hingga enam jam sebulan kelas tambahan BI di Makmal Bahasa kepada semua pelajar. Sediakan tenaga pengajar khas dan terlatih di Makmal Bahasa.

Jika persediaan sudah sampai ke peringkat ini dan tiada sebuah sekolah yang tertinggal maka kerajaan bolehlah menimbangkan syarat wajib lulus BI bagi SPM. Tidak ada sebab rakyat menolak sebarang dasar jika rakyat mampu dan tidak menjadi beban fikiran dan halangan untuk kejayaan. Sama-samalah kita merenung ke dalam diri, apakah kekuatan dan kelemahan kita dalam menghadapi cabaran mendatang.