Jumaat, Ogos 28, 2009

Selepas kuasai ekonomi...

ANDAIAN sebelum ini bahawa kaum Cina hanya berminat untuk menguasai ekonomi sementara kuasa politik akan terus dipegang oleh orang Melayu, nampaknya tidak lagi begitu. Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 membuktikan bahawa banyak pihak kaum Cina sedang mengasak habis-habisan untuk turut sama menguasai politik negara ini. Makin banyak petunjuk ke arah itu termasuk menerusi laporan media tertentu khususnya berbahasa Cina yang mempromosi sentimen sedemikian. Mesej yang boleh dibaca ialah banyak kalangan kaum Cina sudah tidak berpuas hati dengan sekadar menguasai ekonomi?

Persoalannya apakah yang akan berlaku jika kaum Cina juga menguasai politik dan di mana kedudukan Bumiputera nanti? KT lontarkan persoalan ini untuk renungan kita semua lebih-lebih lagi kedudukan Melayu/bumiputera sabah dan sarawak kini makin kritikal. Apa sahaja yang tinggal pada Melayu mahu dirungkai termasuk yang termaktub dalam perlembagaan negara. Realitinya walaupun Melayu menguasai politik tetapi yang lebih berkuasa di negara ini adalah kaum Cina disebabkan penguasaan dalam ekonomi yang amat ketara. Di sebalik banyak rungutan terhadap dasar kerajaan, sebenarnya kaum Cina paling banyak mendapat nikmat. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan sebelum ini hanya memberikan kouta 30 peratus kepada bumiputera tetapi penguasaan 70 peratus terus dinikmati oleh masyarakat usahawan Cina yang sudah membentuk kartel mega, selain berlaku gejala ali baba dan ketirisan dalam 30 peratus kouta bumiputera.

Jika Melayu dibantu dalam bidang perniagaan ia dianggap tongkat tetapi jika syarikat-syarikat Cina diselamatkan oleh kerajaan, ia didiamkan sahaja. Jika banyak usahawan bukan Melayu mendapat bisnes monopoli seperti gula, stesen televisyen satelit, stesen janakuasa bebas dan sebagainya sehingga menjadi kaya raya dan mengalihkan berbilion ringgit ke luar negara, ia juga tidak mengapa. Jika ada usahawan Melayu cuba menceburi bidang penguasaan usahawan Cina seperti membekalkan limau, ia akan diboikot sampai gagal. Namun jika ada usahawan bukan Melayu menguasai bisnes seperti pengedaran produk daging dan ayam halal, yang melibatkan pasaran orang Islam, itu dianggap biasa. Penguasaan Cina dalam syarikat-syarikat swasta dan persendirian selain mengutamakan pekerja kaum itu juga bukan isu. Pada masa yang sama majoriti Melayu di sektor awam makin hebat dipersoalkan malah terus diperlekehkan.

KT bukanlah mahu bersikap rasis. Apa yang disuarakan ini sekadar menyanggah gelombang fitnah, tohmahan dan persepsi liar banyak pihak terhadap usaha meningkatkan pencapaian bumiputera, yang masih jauh ketinggalan berbanding kaum Cina. Begitulah kebijaksanaan banyak pihak kaum Cina berpercaturan. Dalam mereka mengeluh dan merintih, mereka terus kaya dan berkuasa. Kouta untuk bumiputera mahu dihapuskan tetapi 'kouta khas' bukan bumiputera seperti bisnes berkaitan pusat hiburan, arak, judi dan maksiat yang mereka kuasai selama ini, tidak boleh disentuh sama sekali. Pada hari ini, kaum Cina yang merupakan 24 peratus penduduk negara ini menguasai ekonomi. Tradisi dan budaya niaga yang lama terpahat selain dasar kerajaan yang terbuka, membolehkan kaum Cina terus melonjak. Masyarakat Cina mempunyai simpanan wang yang banyak berbanding kaum lain dan itulah antara asas kekuatan ekonomi kaum itu. Sedangkan Melayu yang merupakan kaum majoriti terus keciciran. Bayangkan seketika jika Melayu lenyap kuasa politik?

Khamis, Ogos 13, 2009

Cinta tiga segi Pas-PKR-DAP, siapa yang menangis?

SEKIRANYA ditakdirkan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri adakah beliau akan menghalalkan protes jalanan? Adakah beliau akan membenarkan rakyat memberontak sehingga melumpuhkan ekonomi negara? Sudah pasti bila sahaja beliau meneraju negara ini beliau akan turut menggunakan pendekatan yang sama (seperti kerajaan sekarang) malah mungkin lebih teruk terhadap golongan-golongan pemprotes jalanan. YB Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan seorang yang cetek pemikirannya, bukan seorang pemimpin unggul bukan juga pejuang tulen. Sehingga kini apa yang jelas perjuangan beliau hanyalah bersifat peribadi. YB Datuk Seri Anwar hanya ada satu cita-cita, iaitu untuk menjadi Perdana Menteri. Nafsu serakah menguasai pemikiran beliau, tiada yang lagi penting daripada cita-cita 'suci' tersebut walaupun terpaksa menggadai negara ini dan menjual kaum sendiri.

Pas, parti politik yang berjuang atas landasan Islam (kononnya) pun turut terperangkap dalam permainan jijik YB Datuk Seri Anwar. Pas seolah-olah terpukau, terpana, terpaku dengan kehebatan YB Datuk Seri Anwar menjual 'kelentong' beliau. Pas yang selama ini 'berperang' dengan DAP sanggup pula berganding menjadi satu, menggadai maruahnya untuk berjuang menentang saudara seIslam sendiri. Ternyata dalam cinta tiga segi Pas-PKR-DAP, parti yang paling rugi ialah Pas. Semua tahu matlamat utama Pas adalah untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Dan, jika diizinkan Allah mereka ini menang dan dapat menubuhkan kerajaan, apa mungkin DAP akan menurut kemahuan Pas untuk menubuhkan sebuah negara Islam?

Bak kata Karpal Singh, 'Langkah mayat saya dulu'. Betullah kata orang, bila 'bercinta' kentut pun bau wangi. YB Datuk Seri Anwar dalam apa cara sekalipun akan pastikan 'kentut' DAP sentiasa wangi bagi Pas. Pakatan Rakyat bimbingan beliau tidak boleh berpecah, kerana bila berpecah maka berkecailah cita-cita 'suci' menjadi Perdana Menteri. Namun dalam kisah cinta the three beast ini sudah pasti ada pihak yang paling beruntung. Tidak lain, tidak bukan sudah tentunya DAP. Dalam protes jalanan Sabtu, 1 Ogos 2009 lepas, tanpa perlu mengerahkan jenteranya DAP telah berjaya menggerakkan hampir 10,000 macai untuk 'berjuang' bagi kepentingannya. Paling menarik macai-macai DAP ini semuanya orang Pas dan PKR. Sikap Yes Bos Pas inilah yang sebenarnya menjadi kesukaan DAP.

Namun sampai bila? Bak kata pepatah, habis madu sepah dibuang. DAP hanya menunggu masa untuk menghancurkan Pas. Setelah matlamat dan cita-citanya tercapai, Pas akan diludah, diterajang keluar daripada Pakatan Rakyat oleh cintanya DAP. Tapi dalam semua ini, siapa yang benar-benar rugi? Pastilah rakyat yang rugi. salam perjuangan

Rabu, Ogos 12, 2009

Ezam sedia jadi saksi utama

Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd. Nor bersedia tampil sebagai saksi utama kes tuntutan saman Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha membuktikan siri pengkhianatan yang pernah dilakukan oleh Penasihat PKR itu. Katanya, beliau bersedia berbuat demikian kerana mahu bersama-sama dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan lebih banyak lagi tindakan khianat Anwar terutama terhadap orang Melayu.

Sebagai contoh beliau berkata, Anwar pernah menghina Dasar Ekonomi Baru (DEB) bertujuan mendapatkan semaksimum undi kaum Cina serta India dalam satu mesyuarat yang turut dihadirinya. ''Akhirnya saya keluar dari PKR apabila melihat Anwar sanggup menghina DEB iaitu sebuah institusi bagi orang Melayu. Saya tidak sangka dia bertindak sebegini rupa hanya semata-mata untuk mendapatkan undi Cina dan India. ''Memang tidak salah untuk kita mengkritik tetapi apa yang dilakukan oleh Anwar ini sudah sampai ke tahap menghina dan sebagai seorang Islam dan seorang Melayu saya tidak boleh terima apa yang berlaku,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Ahad lalu, Muhyiddin dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading membidas Anwar sebagai pengkhianat perjuangan Melayu.

Berikutan kenyataan tersebut, Anwar menerusi peguamnya menghantar surat tuntutan ganti rugi sebanyak RM100 juta kepada Muhyiddin dan Utusan Malaysia.
Selain Utusan Malaysia, kenyataan Muhyiddin itu turut disiarkan oleh New Sunday Times dan Berita Harian. Ezam berkata, sepatutnya amalan politik Anwar itu ditolak kerana ia telah menjadi penyebab kepada wujudnya banyak pihak khususnya bukan Melayu yang semakin berani mempertikaikan hak istimewa orang Melayu. ''Anwar sebenarnya telah tersilap menafsir keadilan. Keadilan bukan kesamarataan tetapi keadilan itu ialah meletakkan sesuatu itu pada haknya,'' katanya.

Beliau berkata, satu lagi siri pengkhianatan Anwar adalah terhadap Islam apabila pemimpin pembangkang itu dengan jelas mahu memperkenalkan amalan kesamarataan di dalam PKR. Katanya, amalan tersebut amat bertentangan dengan prinsip politik Rasulullah kerana di dalam Islam tidak ada konsep kesamarataan. ''Rasulullah tidak pernah berkompromi dalam soal ini. Maksudnya dalam apa jua keadaan sekalipun Islam mesti menjadi dominan. Islam wajib diutamakan berbanding perkara-perkara lain,'' katanya. Beliau menambah, dalam prinsip politik Islam, orang bukan Islam yang bernaung di bawah pemerintah Islam tidak akan mendapat hak sama rata sebaliknya akan menerima hak mereka seperti mana dipersetujui.

Dalam pada itu Ezam berkata, kerajaan sedia ada tidak pernah menzalimi rakyat bukan bumiputera sebaliknya mereka memperoleh nikmat yang melimpah ruah jika dibandingkan dengan orang Melayu dan bumiputera. ''Ini merupakan satu fakta dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Oleh itu, saya amat berharap orang Cina, India dan sebagainya tidak mudah tertipu dengan permainan politik Anwar,'' jelasnya.

Rabu, Ogos 05, 2009

Siapa sebenarnya Nahkoda Demontrasi

KEHADIRAN hanya 5,000 penyokong (20 ribu mengikut laporan oleh portal Malaysiakini) Gerakan Mansuh ISA (GMI) menyertai demonstrasi pada 1 Ogos yang lalu menjelaskan hanya sebilangan kecil sahaja rakyat Malaysia yang tidak mahu mengaku akan kesan positif dan keberkesanan ISA dalam memelihara keamanan negara. Sasaran 100,000 pendemonstrasi seperti yang diuar-uarkan oleh penganjur GMI ternyata jauh menyimpang! Seperti yang diduga majoriti yang terlibat dengan demonstrasi haram ini adalah orang Melayu. Gambaran awal GMI seolah-olah semua kaum dari gabungan lebih 80 NGO akan turun berdemonstrasi, namun terbukti kaum-kaum lain tersebut hanya berehat di rumah bersama keluarga sambil menikmati hidangan tengah hari, sedangkan pada masa yang sama terdapat segelintir Melayu sedang melakukan ‘kerja-kerja bodoh’! Adalah lebih menyedihkan apabila terdapat sumber sah yang menyatakan bahwa sebahagian yang ikut demontrasi itu adalah diupah oleh orang-orang tertentu untuk menjayakan niat jahat mereka.

Golongan Melayu ini juga tidak ubah seperti golongan Melayu “Mat Rempit” yang bodoh, sanggup mempertaruhkan nyawa demi menguji prestasi “mesin bodoh” ciptaan orang lain!
Saya ingin berpesan kepada Haji Hadi Awang, sekiranya beliau bercadang mengerahkan ahli-ahli Pas untuk menyertai apa-apa demonstrasi seterusnya, eloklah beliau berpesan kepada Lim Kit Siang agar sama-sama mengerah ahli-ahli DAP agar turun beramai-ramai. Ia bagi memastikan tidak hanya ahli-ahli Pas merasai ‘nikmat’ meriam air dan gas pemedih mata pasukan FRU, sebaliknya ahli-ahli DAP juga patut menikmati kemeriahan ‘pesta air dan gas’ tersebut.

Namun mungkin apa yang berlaku itulah “keadilan” mengikut tafsiran PR. Askar-askar Melayu berkorban nyawa mempertahankan tanah air sedangkan sesetengah kaum pula hidup senang lenang, itulah keadilan. Anggota polis berkorban nyawa menjaga keselamatan rakyat, malah kadang-kadang dituduh pembunuh oleh PR, sebaliknya ada pemimpin yang membela kongsi gelap, menghentak meja membentak penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam yang merampas minuman keras! Tetapi itulah konsep “keadilan” mereka! Trend terkini, wakil-wakil PR bukan Melayu akan mencetuskan idea penentangan dan orang-orang Melayu pula akan melakukan demonstrasi jalanan! Ini lagilah adil!

Bagaimanapun, sokongan rakyat terhadap “kerja-kerja bodoh” ciptaan pembangkang ini semakin menurun dan apa yang boleh dikatakan kepada Anwar Ibrahim... Sudah sudahlah tu Anwar Ibrahim ooii! salam perjuangan

Selasa, Ogos 04, 2009

Selesaikan di Parlimen, bukan jalanan. Harus difahami bahawa, negara kita dibentuk berdasarkan acuan negara kita.

BANTAHAN keras sesetengah pihak ke atas kewujudan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act (ISA) sehingga sampai kepada tindakan perhimpunan jahat amat dikesalkan oleh sekalian rakyat yang cintakan demokrasi. Saya menggunakan perkataan perhimpunan jahat kerana saya melihat mereka seperti hilang akal. Tanpa perasaan belas kasihan kepada orang ramai yang menggunakan jalan di Kuala Lumpur sehingga menimbulkan kerugian kepada penjaja kecil yang inginkan rezeki. Kerajaan tidak mengganggu peniaga mencari rezeki tetapi perhimpunan jahat yang diketuai oleh pembangkang, khususnya bertindak zalim. Kerajaan selama ini telah memberi masa yang cukup kepada pembangkang untuk membahaskan ISA di dalam Parlimen. Bahkan dalam pilihanraya-pilihanraya umum lalu, rakyat telah memilih cara demokrasi menentukan kerajaan pilihan mereka.

Jika ISA tidak disukai oleh rakyat, maka sudah tentulah mereka sudah lama menolak kerajaan sekarang ini. Apa yang penting, rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai. Rakyat rasa terbela kerana kerajaan memang ikhlas bantu rakyat. Namun, tidak semua yang dilakukan kerajaan sempurna. Barangkali ada bantuan tidak sampai kerana masalah-masalah tertentu yang berlaku di peringkat bawahan. Memanglah, sebagai ahli politik, apabila mereka ditangkap di bawah ISA kerana kesalahan daripada tindakan mereka yang barangkali ada unsur jahat, maka peluang mereka untuk berpolitik sudah tersekat. Dan niat jahat mereka akan terbantut dek kerana ISA. Apakah niat jahat mereka tidak sukar untuk dibaca. Mereka gagal menyuarakan pendapat kumpulan mereka di Parlimen!

Bagaimana mereka boleh gagal ialah di sebabkan mereka asyik berbalah soal remeh-temeh di Parlimen. Mereka saling kata-mengata dengan perkataan-perkataan kotor di Parlimen. Parlimen adalah tempat sesuai membincangkan ISA. Bahkan bukan sedikit jumlah ahli Parlimen pembangkang di Parlimen. Tetapi mereka tidak menggunakan Parlimen itu sebaik mungkin untuk membahaskan kecacatan pelaksanaan ISA. Bukankah ISA diwujudkan oleh Parlimen? Maka adalah wajar ia dibincangkan di Parlimen. Bahkan ISA telah dipinda sebanyak lebih 20 kali. Justeru tiada sebab ISA tidak boleh dipinda di Parlimen.

Soalnya sekarang, kenapa pembangkang perlu melakukan satu perhimpunan jahat di jalan-jalan ke atas ISA? Bukankah mereka ahli Parlimen? Kenapa membelakangkan Parlimen? Saya berpendapat ISA boleh dipinda. Tetapi sebelum itu ada eloknya dibincangkan bahagian mana yang perlu dipinda supaya ia akan lebih kemas dan mantap lagi untuk menjaga keamanan negara. Maka Parlimen adalah tempat yang sesuai membahaskannya kerana ISA dilahirkan di Parlimen. ISA bukan akta yang dilahirkan di jalan-jalan. Dan apa yang pasti, pindaan akta bukan boleh dibuat sehari dua. Ia perlukan kajian mendalam, tentang baik dan buruknya. Oleh itu, saya menggesa supaya golongan yang menggesa hapuskan ISA kembalilah semula ke Parlimen untuk membahaskan mana-mana cacat celanya bukannya membawanya ke jalan-jalan sehingga tidak pasal-pasal rakyat yang mengundi mereka jadi susah.

Bahkan juga pasukan keselamatan turut susah hati dan tercabar melihat kejahatan ciptaan mereka. Justeru, saya menyarankan kepada kerajaan supaya diwujudkan satu Suruhanjaya Diraja yang terdiri daripada pakar undang-undang dan wakil-wakil tertentu khusus bagi mencari kecacatan ISA dan menambah baikkan lagi ISA supaya keselamatan dan keamanan negara tidak terjejas dan tergadai. salam perjuangan