Khamis, September 24, 2009

Lim akui Najib ‘ bukan mudah’ untuk diketepikan sebagai PM

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengakui bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak adalah lebih sukar untuk diketepikan sebagai perdana menteri kerana dia telah membuktikan dirinya sebagai pemimpin politik yang lebih berkesan berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini. Dalam temu bual dengan akhbar Financial Times of London yang diterbitkan Selasa, Lim, yang sudah mula memikirkan pilihan raya umum akan datang, berkata: "Ada peluang (pembangkang memenangi majoriti kerusi Parlimen) tetapi ia tidak akan mudah. Mungkin ia lebih sukar di bawah Najib berbanding Abdullah. Saya berpendapat Najib dapat melakukan sesuatu dengan lebih baik berbanding Abdullah."
Menurut Bernama laporan, yang ditulis oleh koresponden Singapura, Kevin Brown, berkata komen Lim, yang juga setiausaha agung DAP, adalah berbeza dengan gaya retorik yang agresif Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar telah mencadangkan kerajaan pusat yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) mungkin dipaksa keluar sebelum pilihan raya umum akan datang dengan tindakan 'melompat parti' di kalangan ahli Parlimen. Pakatan Pakyat menguasai 83 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dan hanya perlu memang 29 lagi kerusi Parlimen untuk mengambil alih tampuk pemerintahan. Laporan itu menyebut Najib, sejak mengambil alih sebagai perdana menteri April lepas, telah mendekati pengundi dengan merangka dasar untuk semua kumpulan etnik, menentang rasuah, membebaskan banduan politik dan menumpukan sumber ke atas kerusi yang berpotensi untuk dikuasai semula.
Bagi menekankan keseriusan, laporan itu menyebut Najib baru-baru ini mengumumkan inkuiri terhadap skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Baru-baru ini, CLSA Asia-Pacific Markets, sebuah firma broker saham dan pelaburan yang bebas berpangkalan di Hong Kong, berkata Najib telah mendapatkan semula 'pegangan' dengan sebilangan dasar dan tindakannya yang menarik dan positif sejak mengambil alih kepimpinan kerajaan. Ia termasuk meliberalisasikan Dasar Ekonomi Baru, memastikan lebih banyak ketelusan, mempercepatkan pemberian projek infrastruktur dan meningkatkan hubungan dengan Singapura bagi menarik pelaburan langsung ke koridor pembangunan selatan di Iskandar Malaysia.
Melabelkan pembaharuan positif dalam bidang ekonomi dan sosial yang dibawa Najib sebagai "Najibnomics", CLSA berkata ia bertujuan merangsangkan ekonomi domestik, menarik pelabur dan kepakaran asing, mengurangkan karenah birokrasi, membanteras jenayah dan rasuah, menekankan peningkatan akauntabiliti dan menggalakkan perpaduan negara menerusi konsep 1Malaysia. Berlandaskan latar belakang dalam bidang ekonomi perindustrian dari Universiti Nottingham, CLSA berkata Najib pantas melaksanakan pelbagai pembaharuan fiskal dan struktur negara.

Selasa, September 08, 2009

Tangguh dan tangguh lagi...

HARAPAN banyak pihak dan orang ramai untuk mengikuti perbicaraan sebenar kes dakwaan liwat Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan, dalam masa terdekat, tidak kesampaian. Sejak kes tersebut disebut pertama kali Ogos lalu, sampai kini, ia belum dapat dibicarakan antaranya kerana Anwar mengemukakan permohonan demi permohonan untuk penangguhan. Nampaknya motto baru Anwar ialah Tangguh Tetap Tangguh berbeza dengan Lawan Tetap Lawan ketika kempen pilihan raya umum lalu. Terbaru, kes tersebut akan dipanjangkan lagi pada bulan Oktober. Maknanya, sudah dua kali Ramadan dan Aidilfitri terpaksa dilalui oleh Saiful dengan perasaan tertekan menanti kesnya.
Penangguhan perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi gambaran seolah-olah pemimpin pakatan pembangkang itu takut kepada kebenaran. Penganalisis politik, Dr. Chandra Muzaffar yang juga bekas timbalan presiden parti itu ketika dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional berkata, tindakan Anwar itu suatu pembaziran kos, waktu dan tenaga manusia di mahkamah. “Saya bukanlah hendak membuat kesimpulan dalam perkara ini. Namun inilah gambaran yang dapat dilihat. “Kenapa hendak tangguh kalau kita tidak salah. Anwar seolah-olah takut pada sesuatu. Takut pada kebenaran yang akan terbongkar dalam perbicaraan,” Chandra berkata, kes berkenaan sangat penting kepada masyarakat apatah lagi ia melibatkan isu moral. “Justeru sebagai seorang pejuang rakyat dan pejuang keadilan kononnya, Anwar perlu memastikan perbicaraan beliau selesai secepat mungkin. “Anwar perlu bersikap adil kepada mahkamah, rakyat dan yang paling penting mangsa atau pengadu dalam kes berkenaan,” jelasnya. Tambah Chandra, mahkamah tidak harus dipersalahkan ekoran penangguhan demi penangguhan yang berlaku.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, sikap pemimpin pembangkang itu yang sering mencari alasan bagi menangguhkan perbicaraan di mahkamah hanya mengundang tanda tanya masyarakat. ‘‘Kesimpulan kita, dia (Anwar) takut kes dia berjalan. Kalau dia tak bersalah, hadapi di mahkamah. Yang buat demonstrasi jalanan apa hal? ‘‘Orang ramai juga akhirnya akan sampai pada kesimpulan, yang berlaku semua ini ialah kerana dia takut dengan kes dia,” katanya di sini semalam.

Jumaat, September 04, 2009

13 Mei boleh berulangkah?

SEJAK kebelakangan ini, hampir setiap hari kita disajikan dengan pelbagai peristiwa yang berlaku dalam negara yang mula menggugat perpaduan dan keharmonian kaum yang dibanggakan selama ini. Senarainya semakin hari semakin panjang yang sekali gus mengundang seribu satu persoalan apakah peristiwa 13 Mei 1969 bakal berulang. Walaupun tahun ini genap 40 tahun tragedi malang itu menimpa negara kita, namun saya pasti masih ramai di kalangan kita yang boleh terbayang-bayang apa yang berlaku pada tarikh keramat tersebut yang sekali gus menjadi titik hitam yang sukar untuk dipadamkan daripada lipatan sejarah negara ini dan ia tidak mustahil berulang jika tidak diambil langkah yang sewajarnya.

Satu demi satu peristiwa yang menyentap perpaduan kaum mula diperagakan untuk tatapan umum oleh pihak-pihak yang jelas mempunyai agenda dan kepentingan peribadi masing-masing. Dalang-dalang ini begitu licik memainkan peranan tanpa kita sedari akan rupa bentuknya dan natijah yang bakal dibawanya bersama. Mahu tidak mahu kita perlu akui bahawa antara punca utama soal perpaduan kaum menjadi bahan perbualan dan perdebatan adalah akibat daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) pada Mac 2008 yang jelas menukar landskap politik tanah air kita. Kesannya cukup mendalam dan meninggalkan implikasi yang sangat besar kepada kita semua.

Akibatnya juga sudah ada pihak yang begitu berani menyuarakan hak dan pelbagai tuntutan yang jelas tidak berasas dan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati pihak yang lain. Mereka yang sebelum ini tidak langsung dikenali oleh masyarakat sudah mula menjadi hero dan pejuang golongan tertentu. Mereka muncul umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan iaitu selepas PRU 12. Mempersoalkan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan, mengadakan demonstrasi haram, mencabar pihak berkuasa dengan sengaja, menyebar pelbagai fitnah dan khabar angin yang boleh merobek perpaduan kaum serta meniup api kemarahan terhadap pihak kerajaan telah menjadi intipati dan agenda tetap perjuangan golongan ini.

Satu persoalan yang sukar untuk dirungkai adalah apakah tujuan sebenar golongan ini yang cuba melaga-lagakan rakyat kita yang hidup aman dan damai.
Tidak cukupkah dengan apa yang berlaku pada 13 Mei 1969. Kenapa mereka perlu bermain dengan api. Wajarkah keamanan yang kita nikmati selama ini dikorbankan demi untuk memuaskan hawa nafsu golongan yang mengejar kedudukan, kuasa dan pengaruh semata-mata. Peristiwa bantahan penduduk terhadap pembinaan kuil di Selangor baru-baru ini yang melibatkan perarakan dengan kepala lembu merupakan antara insiden yang sepatutnya tidak berlaku. Ia jelas mengguris hati dan perasaan rakan-rakan kita dari kalangan penganut agama Hindu. Kita percaya penduduk yang membuat bantahan ini tidak sedikitpun berniat untuk menghina agama rakan mereka namun ia jelas telah dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan seterusnya mengambil kesempatan untuk bertindak sedemikian rupa. Akhirnya para penduduk itu secara khususnya dan umat Islam secara amnya dipandang serong kerana dikatakan telah menghina agama lain. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Insiden sedemikian rupa tidak boleh dipandang ringan dan diambil mudah. Ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Andai kita leka maka dikhuatiri ia akan menular dengan cepat seperti wabak selesema babi Influenza A (H1N1) yang semakin sukar untuk dibendung kelak. Sudah semestinya kita tidak rela dan sanggup melihat peristiwa 13 Mei berulang kembali.

Justeru, besarlah harapan semua agar pihak berkuasa dapat membawa pihak yang bertanggungjawab ini ke muka pengadilan sekali gus menjernihkan kembali hubungan antara kedua-dua pihak yang terlibat dan seterusnya membersihkan juga nama baik umat Islam secara keseluruhannya. Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk terus memerangi golongan yang sebegini yang cuba mengganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara kita. Janganlah esok kita menyesal. Bak kata pepatah, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya. Malaysia adalah rumah kita. Sebagai penghuni rumah ini kita wajib menjaga dan memelihara keselamatannya dan melindunginya sepanjang masa. Usahlah kita membenarkan anasir-anasir liar ini bermaharajalela dan mengambil kesempatan kerana akhirnya mereka akan merobohkan rumah kita suatu hari nanti. Jelas itulah tujuan dan matlamat utama mereka selama ini.

Rakyat Malaysia seharusnya menghayati konsep 1Malaysia dengan sepenuh jiwa dan raga jika mahu melihat perpaduan dan keharmonian kaum terus subur di bumi bertuah ini. Gagasan ini merupakan ramuan yang cukup lengkap dan sempurna untuk kita jadikan sebagai panduan dan pedoman bagi membina negara dan bangsa yang dicita-citakan. Ingatlah bahawasanya kita wajib mempertahankan kontrak sosial yang telah diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu agar kita dapat membekalkannya dalam keadaan yang sedia ada kepada generasi yang akan datang. Itu adalah tanggungjawab kita bersama.